|
Bagaimana saya bertemu Anees Maani?
Pertama kali kami bersua pada 2006, semasa saya dijemput untuk menyertai Bengkel Seniman Tamu di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Machang, Kelantan.
Kemudian, sempena bengkel tersebut, satu pameran diadakan di Galeri Shah Alam selama satu bulan – dari 20 Februari hingga 20 Mac 2006. Bengkel dan pameran tersebut menemukan pengkarya dari Malaysia dan Jordan untuk bekerjasama serta bertukar-tukar fikiran. Ketika itulah saya mula berkenalan dengan Anees Maani.
Kedua-dua program tersebut berjalan lancar di bawah penyelarasan dan kurator pelukis Sharifah Fatimah Zubir. Sebelum ini, Sharifah juga menyelaraskan Pameran Risalah dari Malaysia di National Gallery of Fine Art, Amman Jordan, pada 1992.
Ketika berada di Malaysia, saya dapati bahawa Anees melalui perwatakan dan pertuturannya bagaikan membawa bersama angin padang pasir yang nyaman. Pada masa yang sama, bongkah-bongkah batu di Petra, Jordan, ditinggalkan sahaja olehnya di padang pasir yang panas lagi kering.
Anees berkunjung ke Akal di Ulu, sebelum dia pulang ke Jordan pada Mac 2006. Ternyata dia amat teruja, apatah lagi pada pagi semasa berada di sana, saya kejutkan dia dengan membawa seekor ular yang berwarna hijau menyala. Dia terpinga-pinga, ketawa, lalu bertanya, “Apakah itu benar-benar seekor ular?”
Kemudian saya bertanya lagi, adakah pada tengah malam tadi dia mendengar bunyi orang berjalan? Dia mengangguk dan tersenyum. Saya memberitahunya bahawa “orang halus” mahu berkenalan dengan tetamu baru saya. Kami berdua tertawa.
Perbualan kami terhenti seketika apabila isteri saya membawa sarapan pagi untuknya. Dia membawa hidangan itu ke tebing Sungai Langat yang terletak di belakang rumah saya dan menjamahnya sambil memerhati arus sungai. Esoknya, dia meninggalkan kami; katanya untuk mengembara.
Saya menghantarnya menaiki kereta saya ke ibu kota pada pagi itu. Ketika kami melintasi Zoo Negara di Ulu Kelang, saya bertanya mengajaknya untuk singgah melawat zoo tersebut. Dia menjawab, “Mengapa binatang itu di penjara walhal mereka tidak pernah melakukan jenayah atau apa-apa kesalahan pun?”
Saya cuma memandu laju kerana esoknya dia harus pulang ke Jordan. Setelah beberapa hari saya menerima satu sistem mesej singkat (SMS) seperti yang berikut;.
It was a beautiful dream,Malaysia,
all the people,you,thank you all for
the upgrade that was the result of
What I learned in your country.
I’m missin
Sender + 962795760513
Send 4 April 2006
16:58:17
Linked 2/2
g you all.I hope to keep in touch
with you,anees@go2petra.com,
and I hope to see you in Jordan,
I’m doing well here,sculpting
stone with wood in mind!
Sender + 962795760513
Send 4 April 2006
16:57:44 |