“Tapi ini bukan jam bicara”
Ini waktu saya untuk berdoa.”
“Saya mau mati.” “Kamu sakit ?”
“Ya. Saya kena Raja singa.”
Karya-karya Izan yang dihasilkan di London mengingatkan saya kepada beberapa orang penyair dan salah satunya Rendra, seniman dari Solo yang begitu cukup menghiris, apabila kita menatap puisinya. Rendra bercerita, satu persatu, sehelai demi sehelai untuk kita.
Izan juga sebenarnya bercerita, Cuma cerita-ceritanya ditulis dengan sulaman warna-warna yang nampak begitu mudah tetapi bisa membawa kita kepada peristiwa-peristiwa masa lampau yang mengusik jiwa dan menyentuh perasaan. Kisah ini berupa cebisan-cebisan masa lalu yang merakam segala pengalaman-pengalaman ketika berada di perantauan.
Beliau begitu gemar menatap tembok-tembok dan dinding yang usang kerana baginya di situ tersimpan pelbagai sejarah dan rahsia di antara manusia. Dinding ini telah merakam ribuan peristiwa. Dengan setia dan rela ia menadah dada untuk disembur, dicoret, ditoreh, dan dicakar semaunya. Kalaulah dinding serta tembok itu punya nyawa, tentu sekali ia tersenyum, tertawa dan menangis bersama-sama. Sebenarnya, berapa ramai di antara kita yang mahu mengingati peristiwa lalu, apalagi berbicara untuk dikongsi bersama. Ramai di kalangan kita lebih suka melupakan, kerana ia lebih mudah dan menyenangkan.
Memang kita boleh memilih untuk begitu, lebih-lebih lagi jika ia begitu pahit dan getir. Tapi tanpa disedari cara sedemikian sebenarnya membina diri ke arah kaku dan beku, kerana kita tidak mahu belajar dari kehidupan lampau. Bukankah tujuan hidup itu terungkap melalui peristiwa-peristiwa ini?
Kehidupan di London sebenarnya begitu padat, ramai dan pelbagai dalam ertikata alam manusia. Tetapi dalam masa yang sama ia merupakan sebuah kehidupan yang begitu terasing dan menyendiri. Bukanlah sesuatu yang aneh cara kehidupan sebegitu, kerana itu ibu kota maju, mereka amat menghormati hak individu.
Sekembalinya ke Malaysia gaya kehidupan di sana terasa aneh untuk dibawa pulang. Darah itu merah tapi sinarnya berbeza. Budaya ramah mesra Malaysia menjalar di segenap kehidupan sehingga kadangkala timbul perasaan resah dan merimaskan. Adakalanya timbul perasaan serba salah kerana hak diri dan masyarakat itu begitu rapat jurangnya.
Ini menjurus beliau menghasilkan karya-karya yang penuh dengan paras muka manusia-manusia. Kewajipan sosial terasa begitu menghimpit dan ada saatnya begitu terasa mendesak.
Dalam karya “Coming Home” Izan mungkin terasa begitu akur. Bangunan Parlimen, Brickfields dan Abdullah Hukum begitu tertunggu-tunggu kepulangannya. Kita tidak pernah lupa tanah kelahiran, walaupun ketika itu kita adalah seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa.
Dalam Siri Taman pula, beliau cuba menyingkap alam semulajadi sebagai sumber ilhamnya. Tumbuhan di sekitar kediamannya menjadi bahan untuk bercerita. Namun tanpa disedari lamunannya begitu jauh di seberang, warna-warna taman itu bukan taman Tropika! Tubuhnya berada di tanah air tercinta tapi fikirannya masih jauh mengembara ke pelusuk dunia.
Karya-karya yang dilahirkan seterusnya adalah merupakan gabungan kata-kata pengucapan dan pemetaan yang berupa seperti jalan-jalan serta laluan. Terasa ia seperti gambaran sebuah perjalanan yang penuh dengan liku-liku hidup. Sememangnya jauh berjalan luas pandangan. Itu pesanan orang tua-tua. Perantauan akan menjadikan seseorang itu lebih matang dalam melihat, mendengar serta merasa bisikan hatinya. Bukanlah bisikan hati itu adalah suara yang hampir dengan diri kita?